Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Nasional

Pendakwah bebas direman lagi, ketua jabatan kewangan dan perakaunan disyaki seleweng dana RM1.3 juta

Oleh: Ing Boon Seng

KUALA LUMPUR: Seorang pendakwah bebas direman untuk kali kedua bersama Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di Kedah kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta.

Perintah reman selama tiga hari sehingga Ahad ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd Rahman di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi ini.

Menurut sumber, suspek yang juga seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan sekali lagi kira-kira jam 6 petang semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani melibatkan satu siasatan lain.

Tambah sumber, kedua-dua suspek telah ditahan direman selama satu hari semalam selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibebaskan pada jam 5 petang pada hari sama.

“Kedua-dua suspek, di mana pendakwah bebas tersebut yang juga merupakan Pengarah Urusan institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini direman buat kali kedua kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya.

“Pada masa yang sama, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek telah meluluskan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000,” katanya.

Semalam, kedua-dua suspek ditahan reman kerana telah menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 sebagai bayaran mengumpul dana institusi pusat pendidikan dan dakwah tersebut tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi yang lain.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, siasatan tersebut yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lalu disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Loading...
Terkini