Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Aduan Rakyat

[VIDEO] Aduan Rakyat: Penduduk resah, anjing liar ancam keselamatan dan urusan harian

 

 


 

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KAJANG: Penduduk Taman Kajang Utama berdepan gangguan anjing liar sejak beberapa tahun lalu sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa.

Yang dibimbangi mereka adalah isu-isu keselamatan dan kebersihan, lebih-lebih lagi kerana kawasan perumahan berkenaan didiami pelbagai lapisan umur masyarakat.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kajang Utama, Mohd Sufian Mat Junus, sekumpulan anjing dilaporkan akan berkumpul seawal subuh dan pada waktu malam.

“Setiap lorong, setiap jalan semua ada anjing liar yang berkeliaran.

“Sehinggakan, hari-hari ada sahaja rungutan dan aduan dari penduduk, malah turut dipanjangkan kepada pihak berkuasa.” katanya.

Selain menghalang laluan dan menakutkan penduduk, kawasan persekitaran juga dicemari dengan najis haiwan berkenaan termasuk di taman permainan berhampiran.

“Dia kencing dekat kereta kita. Kemudian apabila kita sidai baju, dia kencing dekat baju. Sambil lalu di tepi kereta, dia berak,” kata seorang penduduk, Zahurin Mohd.

Dakwa mereka, haiwan berkenaan sering berkeliaran dan menceroboh halaman rumah serta turut mencalarkan kenderaan.

Penduduk juga sering disergah dan dikejar, bahkan mereka seolah-olah menanti masa untuk diserang gerombolan haiwan liar itu.

Kehadiran anjing-anjing liar bukan sahaja mendatangkan kerisauan buat orang dewasa, malah membimbangkan kerana kawasan ini menjadi tumpuan kanak-kanak untuk beriadah pada hujung minggu dan waktu petang.

Salah seorang penduduk, Shahrudin Yeop, berkongsi kisahnya diserang anjing liar ketika pulang dari surau.

“Ketika kejadian, dia keluar dari bawah kereta dan saya langgar dia dan saya jatuh. Bila jatuh, berlaku kecederaan di kaki saya dan motor saya rosak. Jadi tu saya rasa kesal lah.

“Tetapi memang setiap kali kita lalu mesti dia salak, dia kejar. Jadi oleh kerana keadaan macam tu kami pun terkejut, takut.” katanya.

Penduduk berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana mereka bimbang lebih ramai penduduk akan menjadi mangsa serangan anjing.

Dakwa mereka, aduan telah dibuat namun tindakan yang diambil tidak memuaskan.

Kami akan mendapatkan pihak berkuasa tempatan bagi menjawab isu yang dihadapi penduduk ini.

Loading...
Terkini