Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
AMPANG: Kira-kira 100 penduduk di sekitar Ukay Heights, Ampang, Selangor terpaksa berhadapan bau busuk yang meloyakan selama lebih sebulan, dipercayai berpunca daripada beberapa bangkai babi hutan.
Yang menjadi kerisauan mereka jika haiwan berkenaan mati akibat wabak, yang dikhuatiri menyebarkan penyakit.
Dakwa penduduk tidak kurang empat atau lima bangkai babi hutan dikesan.

Bau tidak menyenangkan itu masih dapat dihidu walaupun ada bangkai telah dikeluarkan dari longkang di belakang sebuah rumah pada 2 Mei lalu.

“Bayangkan seperti berdiri di sebelah bangkai, bau memang tidak boleh nak tahan. Bangkai yang kita jumpa baru-baru ini pun dah reput. Kalau orang yang tak tahan, boleh muntah,” kata salah seorang penduduk, K. Ganesan.

Kata seorang lagi penduduk, Tarmizi Tun Dr Ismail, masalah bau busuk bukan hanya berlaku di sekitar rumah mereka, malah turut memberi kesan kepada penduduk di kawasan sekitar seperti di Taman Hijau, Jalan Tebrau dan Dataran Ukay.
“Dalam masa tiga minggu ini, bau tersebut memang tidak bergerak, di kawasan ini sahaja. Dan dalam masa seminggu ini, mereka dah jumpa dua bangkai babi hutan.
“Sekarang, jiran-jiran di bahagian atas beritahu sudah mula menghidu bau busuk itu, jadi mereka rasa ada lagi bangkai yang masih belum dijumpai.”
Bau busuk itu sekaligus menjejaskan kehidupan seharian mereka terutama yang mempunyai kanak-kanak dan warga emas di rumah.

“Kami tidak boleh buka pintu dan tingkap, apatah lagi penghawa dingin. Bau dia memang sangat sangat kuat.
“Dekat sini kita ada budak kecil, warga emas dan wanita mengandung. Jadi kita risau jika mereka hirup udara tidak sihat,” kata Leela Maniam.
Ini kerana, kerisauan mereka mula timbul selepas beberapa ekor bangkai babi hutan dan monyet mula ditemui di kawasan perumahan mereka.

Seorang lagi penduduk, Saifuddin Kl Chai berkata, yang dibimbangi – jika haiwan-haiwan berkenaan mati akibat dari penyakit.
“Haiwan-haiwan ini mati pada waktu yang sama. Jadi kami semua tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi, sama ada terdapat pihak yang meracun haiwan ini atau mungkin mereka dijangkiti penyakit. Jadi pihak berkuasa kena cari punca perkara ini berlaku.”
Dakwa mereka, ini kali pertama kejadian seumpamanya sepanjang mereka menetap di kawasan ini sejak 30 tahun lalu.

“Babi hutan ini tidak pernah datangkan masalah kepada kami, mereka cuma cari makan, itu pun tidaklah sampai berada di jalan. Sama juga seperti monyet-monyet di sini, tidak pernah datangkan masalah,” kata G Kukanathan.
Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, (MPAJ) mengesahkan menerima aduan mengenai bau busuk dari bangkai babi hutan pada 28 April dan 2 Mei.

Menurut MPAJ dengan kerjasama pihak KDEB Waste Management, kerja mengangkat dan melupuskan bangkai telah dilaksanakan pada hari sama.
Namun, PBT itu masih menerima aduan sama pada 12 dan 13 Mei.
Semakan kemudian mendapati ada bangkai babi hutan di dalam lot persendirian di Jalan Tebrau, Ukay Heights, dan telah dibersihkan pemilik lot.
Kata mereka, oleh kerana ia turut melibatkan kawasan hutan, MPAJ telah memaklumkan PERHILITAN jika ada aduan sama pada masa akan datang.
Kami sedang menantikan maklum balas PERHILITAN bagi menjawab isu berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.



