Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Nasional

Kes Wan Ahmad Faris: Keluarga harap pengakhiran terbaik, pelaku akan didakwa selepas 13 tahun kejadian

Ruhani (kanan) mengharapkan pengakhiran kes anaknya berakhir dengan baik dengan pelaku sebenar akan didakwa susulan siasatan polis sudah selesai. - Foto NSTP
Ruhani (kanan) mengharapkan pengakhiran kes anaknya berakhir dengan baik dengan pelaku sebenar akan didakwa susulan siasatan polis sudah selesai. – Foto NSTP

Oleh: Nor Fazlina Abdul Rahim

KOTA BHARU: Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, iaitu pelajar tahfiz ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh pada 2013 mengharapkan pengakhiran kes anaknya berakhir dengan baik dengan pelaku sebenar akan didakwa susulan siasatan polis sudah selesai.

Ibunya, Ruhani Hussin, 71, bagaimanapun berkata dia menyerahkan segala urusan anaknya itu kepada takdir Allah kerana bimbang harapannya yang tinggi itu mengakibatkan dirinya kecewa.

“Saya berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyiasat kes anak saya sehingga selesai dan kertas siasatan dikatakan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Namun, sebagai seorang ibu yang mengharapkan keadilan kepada kematian anak tersayang, sudah tentu saya menantikan pengakhiran kes ini adalah positif di mana pelaku yang mendalangi kes anak saya ditangkap dan didakwa di mahkamah.

“Siang malam saya berdoa mengharapkan keadilan terhadap kematian anak saya yang kini sudah memasuki 13 tahun. Pada masa sama, saya mengharapkan siasatan polis itu berjaya menemukan DNA beberapa lelaki barang barang kes anak saya.

“Namun, saya juga mengingatkan diri saya supaya harapan saya tidak boleh terlalu tinggi kerana bimbang pengakhiran berbeza menyebabkan saya kecewa. Saya juga bimbang andai kata kes anak saya sekali lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya kepada BH.

Justeru, beliau akan sabar dan setia menunggu dua minggu lagi sebelum mendengar maklum balas lanjut Jabatan Peguam Negara.

“Saya kini mampu berdoa semoga urusan kami dipermudahkan dan kematian anak saya mendapat pembelaan. Namun, jika sebaliknya berlaku, saya serahkan mereka kepada Allah.

“Mereka mungkin terlepas di dunia, namun tidak akan terlepas di akhirat,” katanya.

BH kelmarin melaporkan, siasatan semula berhubung kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris sudah siap dilakukan PDRM.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilaporkan berkata, kertas siasatan sudah diserahkan oleh polis kepada Jabatan Peguam Negara pada Jumaat lalu.

Katanya, pihaknya dijangka mengambil masa dua minggu bagi meneliti kertas siasatan berkenaan sebelum tindakan susulan diambil.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat, ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.

Mayatnya dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas mengesan bau busuk dari tandas berkenaan.

Pakar forensik menjalankan bedah siasat mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut yang tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Namun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris disebabkan oleh tindakan individu yang tidak dikenal pasti.

Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PDRM akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.

Loading...
Terkini