Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Aduan Rakyat

[VIDEO] Lumba haram terus berleluasa di Pulau Indah

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PELABUHAN KLANG: Kegiatan lumba haram terus berleluasa di sekitar Pulau Indah, khususnya di kawasan Taman Laguna Park, meskipun tragedi kemalangan maut sudah kerap kali berlaku.

Perlumbaan motosikal secara haram itu dikatakan berlaku hampir setiap hujung minggu, kira-kira lima kilometer dari laluan utama ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sering dijadikan sebagai ‘litar’ tidak sah oleh para pelumba muda.

Berbeza dengan kebanyakan perlumbaan haram yang lazimnya berlangsung lewat malam atau awal pagi, kegiatan di kawasan ini bermula seawal jam 6.30 petang sehingga 8 malam. Lebih membimbangkan, kebanyakan penunggang yang terlibat adalah pelajar sekolah dan remaja belasan tahun.

Penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti ini yang dikatakan semakin menjadi-jadi. Malah, beberapa insiden kemalangan maut pernah berlaku, namun tidak memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat.

Menurut penduduk, Mohd Ali Tahir, 71, kejadian di kawasan tersebut sudah mengorbankan ramai nyawa, namun kegiatan itu tetap berulang.

“Dia tak serik. Dah ramai yang terkorban. Mungkin dalam 10 hingga 20 orang, mungkin lebih. Sedih tengok anak-anak bangsa kita mati sia-sia,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Abdul Rahman Bakar, 66, tindakan kumpulan remaja itu turut menjejaskan ketenteraman awam.

“Mereka berkumpul ramai-ramai, uji motor bising-bising. Kami nak keluar rumah pun susah, takut. Budak-budak pun trauma,” jelasnya.

Tinjauan di taman rekreasi berhampiran mendapati ia dijadikan lokasi berkumpul dan menguji motosikal sebelum perlumbaan bermula.

“Ini kawasan riadah. Nak bawa anak-anak pun jadi tak selesa. Bunyi bising, motor laju, tak selamat,” kata Anne, salah seorang pengguna.

Pihak berkuasa difahamkan ada membuat rondaan berkala, namun kumpulan pelumba haram ini dikatakan bijak melarikan diri menggunakan jalan tikus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, ketika ditemui berkata beberapa langkah sedang dipertimbangkan termasuk pemasangan lebih banyak bonggol jalan (speed breaker) serta cadangan pembinaan Litar Lumba Rakyat bagi mengurangkan gejala itu.

“Saya akan bincang dengan pihak JKR untuk buat kajian semula. Mungkin kita boleh pasang lebih banyak speed breaker bagi kurangkan aktiviti lumba haram,” ujarnya.

Menurutnya lagi, penyelesaian isu lumba haram memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan, pendidikan, penglibatan komuniti serta peranan ibu bapa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini