Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Infografik

Kes 1MDB: Najib dihukum penjara 15 tahun, denda RM11.38 bilion

 

Oleh: Fareez Azman, Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan didenda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi sebentar tadi.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman berkenaan pada jam 9 malam selepas beliau terdahulu mendapati bekas Presiden UMNO itu bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kuasa untuk suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bagi setiap empat tuduhan menggunakan kedudukan, hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib dan lima tahun penjara bagi setiap 21 tuduhan pengubahan wang haram, namun semuanya berjalan serentak.

Menurutnya, semua hukuman diarahkan untuk berjalan serentak dan hanya selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib yang berada di kandang tertuduh juga dilihat tenang ketika hukuman dibacakan dengan prosiding bermula sejak jam 9.00 pagi.

Collin turut memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman penjara 40 tahun jika beliau gagal membayar denda berkenaan.

Terdahulu, mahkamah mensabitkan Najib atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), sebelum mensabitkannya atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi 21 pertuduhan AMLATFA, Najib didapati bersalah atas sembilan pertuduhan menerima wang berjumlah RM2.08 bilion, tujuh pertuduhan memindahkan dana RM2.05 bilion dan lima pertuduhan menggunakan dana RM22.6 juta.

Manakala bagi empat pertuduhan di bawah Akta SPRM, mahkamah mendapati Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion.

Mahkamah memutuskan bahawa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Loading...
Terkini