
Oleh: Farhana Yaacob
MELAKA: Dua beranak ditahan selepas mereka menyamar sebagai anggota polis dan menyamun wang tunai milik seorang warga Bangladesh.
Dua suspek berusia 51 dan 25 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada Ahad dan Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan dan maklumat awam membawa kepada penahanan suspek di dua lokasi iaitu kawasan perindustrian ringan Telok Mas serta sebuah pondok berhampiran Masjid Al-Alami, Ayer Keroh.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebelum menahan mangsa yang sedang mengayuh basikal pada Ahad lalu.
“Mereka berpura-pura menjalankan pemeriksaan terhadap beg sandang mangsa sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM720,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan menyamar sebagai penjawat awam di bawah Seksyen 170 kanun sama.
“Hasil semakan rekod mendapati suspek berusia 51 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes rogol, samun dan penipuan, manakala anaknya pernah terbabit dalam kes menyamar sebagai polis dan samun,” katanya.



