
Oleh: Juwan Riduan
PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki mengedar dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin terbongkar apabila dia ditahan polis bersama hampir setengah kilogram dadah di sini, pada Rabu.
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menjalankan pemerhatian di hadapan sebuah kondominium di daerah ini sebelum menahannya di dalam kenderaan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kereta Toyota Altis yang dinaiki suspek membawa kepada penemuan 15 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 498.01 gram.
"Pasukan serbuan turut menemui enam paket kecil mengandungi dadah disyaki jenis ketamin seberat 15.10 gram dalam pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan.
"Turut dirampas 65 batang rokok disyaki mengandungi dadah, dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM14,450," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku semua dadah yang dirampas adalah miliknya dan dipercayai memperoleh bekalan daripada seorang individu.
"Bekalan dadah jenis ekstasi dan ketamin itu dipercayai dihantar ke sebuah pusat hiburan, dengan kuantiti sekitar 15 paket ekstasi dan 25 gram ketamin.
"Suspek juga dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober 2025," katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai terbabit serta sumber bekalan dadah berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
"Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dibuat bagi menjejaki rangkaian pengedaran dadah berkenaan.



