
Oleh: Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket dikenali sebagai ‘Badul’ yang dipercayai mengaut hampir RM1 juta hasil penjualan kuota pekerja asing kepada pihak ketiga dalam serbuan Ops Serkap di sebuah premis sekitar Jalan Desa Pandan, di sini, semalam.
Serbuan berkenaan membawa kepada penahanan lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan awal mendapati syarikat terbabit menyalahgunakan kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan khusus untuk kegunaan sendiri dengan menjual, memindahkan dan mengagihkan tenaga kerja asing kepada pihak ketiga tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Setiap urusan dikenakan bayaran bermula RM3,000 hingga RM8,000 bagi setiap permohonan, sekali gus memperlihatkan unsur komersialisasi dan pemerdagangan tenaga kerja asing secara terancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, syarikat berkenaan turut disyaki menyediakan surat cuti palsu kepada pekerja asing sebagai alasan untuk memperdaya pihak berkuasa sekiranya mereka ditahan ketika berada di kawasan lain, selain didaftarkan pada dokumen pekerjaan.
“Syarikat ini juga menguruskan pembebasan pekerja asing yang ditangkap dengan mengenakan bayaran tertentu, seolah-olah undang-undang boleh dirunding dan dibeli,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu turut bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembaharuan pas kerja dan visa dengan bayaran tertentu tanpa kebenaran pihak berkuasa serta dipercayai aktif di seluruh Semenanjung.
Susulan serbuan itu, pihaknya merampas 20 pasport Indonesia dan Bangladesh, lima pasport Pakistan serta satu pasport India, selain menyita 497 i-Kad pekerja asing, 38 kad CIDB, wang tunai kira-kira RM13,000 serta pelbagai dokumen dan peralatan berkaitan.
Semua warga asing berusia 26 hingga 61 tahun dihantar ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala dua pekerja tempatan diberi notis hadir membantu siasatan.



