Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Jenayah

Sindiket dadah ‘Boy Lembu’ guna lori buruk tumpas

Asisten Komisioner, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad (tiga dari kiri) dan pegawainya menunjukkan sebahagian dadah jenis ganja yang ditemui disembunyikan dalam sebuah lori – Foto NSTP

Oleh: Zahratulhayat Mat Arif

IPOH: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai ‘Boy Lembu’ yang menggunakan sebuah lori buruk di tepi jalan sebagai stor simpanan dadah dalam serbuan yang dijalankan, kelmarin.

Pemeriksaan ke atas lori yang ditinggalkan sejak empat tahun lalu di Lahat itu dilakukan susulan penahanan tiga lelaki, termasuk seorang warga asing, dipercayai anggota sindiket berkenaan di Jalan Pengkalan Utama 4, Lahat, kira-kira jam 7 malam pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan ke atas lori terbabit membawa kepada penemuan 33 bungkusan plastik berwarna hijau dan lutsinar mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan berat keseluruhan 32 kilogram (kg).

“Dadah itu dianggarkan bernilai RM94,000 dan mampu membekalkan kira-kira 42,000 penagih,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, sindiket ‘Boy Lembu’ dipercayai aktif sejak Januari tahun lalu, manakala lori berkenaan digunakan sebagai lokasi simpanan sementara bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Berdasarkan keadaan lori itu, ia kelihatan seperti tidak pernah digunakan dan digunakan semata-mata sebagai tempat simpanan. Lori berkenaan mempunyai pemilik dan didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang beroperasi di Butterworth. Polis tidak pernah menemui modus operandi sindiket dadah seperti itu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki warga asing berusia 35 tahun itu positif methamphetamine dan amphetamine, manakala dua lelaki tempatan masing-masing berusia 17 dan 50 tahun didapati negatif.

Dalam serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di sebuah rumah di Tasek Square Residential, di sini, kira-kira jam 3.45 petang semalam dan merampas 17 paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 114 gram bernilai RM13,680.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini