
Oleh: Meor Riduwan Meor Ahmad
MELAKA: Polis menyerbu dua unit kondominium di Ayer Keroh yang dipercayai digunakan bagi kegiatan sindiket pusat panggilan palsu dan penipuan pelaburan kripto dalam satu operasi, semalam.
Siasatan awal mendapati pusat panggilan berkenaan didalangi warga tempatan dan aktif menawarkan pelaburan kripto tidak wujud kepada orang ramai menerusi platform dalam talian sejak November tahun lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, lima lelaki berusia antara 17 hingga 33 tahun ditahan, membabitkan empat warga tempatan dan seorang warga China, hasil pemeriksaan di kedua-dua unit kondominium yang dijadikan pusat panggilan sindiket terbabit.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sindiket berkenaan menggunakan taktik memperdaya mangsa dengan janji pulangan lumayan tanpa sebarang risiko.
“Suspek dipercayai memujuk mangsa melabur dalam skim pelaburan kripto palsu yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa risiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam operasi Op Khas 03/2026 itu, polis turut merampas komputer, telefon bimbit serta peralatan rangkaian dengan nilai keseluruhan dianggarkan kira-kira RM40,000, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Risikan/Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.



