Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Nasional

5,624 pengecas EV termasuk DC dipasang seluruh negara hingga 2025

Foto Jabatan Penerangan

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,624 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) awam telah dipasang di seluruh negara sehingga Disember 2025, bersamaan 56 peratus daripada sasaran keseluruhan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, daripada jumlah itu, 1,983 unit atau 128 peratus daripada sasaran 1,500 unit, merupakan pengecas pantas jenis arus terus (DC), sekali gus melepasi sasaran asal.

Bagaimanapun, hanya 3,701 unit pengecas jenis arus ulang alik (AC) dipasang, iaitu kira-kira 40 peratus daripada sasaran 4,500 unit.

“Pencapaian pengecas DC yang melebihi sasaran mencerminkan keperluan untuk memberi fokus kepada pemasangan pengecas pantas, selaras dengan maklum balas industri yang menunjukkan ketersediaan pengecas DC sebagai faktor utama meningkatkan keyakinan pengguna untuk beralih kepada kenderaan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya pada Mesyuarat Pertama, Penggal ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan turut menggalakkan pemilik EV memasang pengecas di kediaman masing-masing, kerana kos pengecasan di rumah jauh lebih rendah berbanding pengecas pantas awam.

“Pengecas EV awam berfungsi sebagai pelengkap, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.

“Pembangunan infrastruktur pengecas EV akan terus diperkukuh secara mampan bagi menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik dan peralihan negara ke arah mobiliti rendah karbon,” jelasnya.

Loading...
Terkini