Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Nasional

Cemburu dipercayai punca penganggur tekup muka kekasih hingga mati

Oleh: Alias Abd Rani

BATU PAHAT: Cemburu buta dipercayai punca seorang penganggur menekup muka teman wanitanya dengan bantal hingga mati sebelum mayatnya ditemukan dalam sebuah rumah sewa di Taman Damai II, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata tindakan itu diambil suspek hingga menamatkan riwayat kekasihnya berusia 41 tahun kerana mengesyaki wanita itu ada lelaki lain.

Katanya, pembunuhan dilaporkan berlaku pada Selasa minggu lalu, namun mayat mangsa ditemukan di atas katil bersebelahan suspek yang kritikal akibat parah selepas cuba membunuh diri dengan mengelar leher dan pergelangan tangan kiri dengan senjata tajam.

“Suspek bertindak sedemikian kerana mengesyaki teman wanitanya ada kekasih lain,” katanya ketika dihubungi.

Shahrulanuar berkata, polis sudah merekodkan sebahagian keterangan daripada suspek bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan itu.

Sementara itu, Mahkamah Majistret melanjutkan tempoh reman ke atas suspek berusia 44 tahun selama enam hari bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan termasuk menyambung semula keterangan daripadanya.

Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan tempoh reman dilanjutkan bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang dibenarkan keluar Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) tiba di perkarangan Mahkamah Batu Pahat pada jam 8.30 pagi dalam keadaan lehernya berbalut selepas cedera dalam cubaan membunuh diri.

Loading...
Terkini