Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Nasional

Dagangan RM233 bilion dorong rundingan ART dengan AS

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Oleh: Latifah Arifin

KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang mencecah RM233 bilion pada tahun lalu menjadi antara faktor kerajaan berunding dengan negara itu menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, nilai dagangan yang besar itu perlu dipertahankan memandangkan sebarang peningkatan tarif oleh AS berpotensi menjejaskan ekonomi negara, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta barangan berkaitan kesihatan.

“Dalam konteks sebahagian negara seperti Myanmar dan Laos, (mereka) tak kisah sangat (soal tarif) kerana tidak banyak eksport ke AS, tetapi kita, untuk tahun lalu sahaja RM233 bilion. Untuk bina (jumlah ini) bukan senang.

“Kalau kita tak bincang, orang lain akan bincang dan tandatangani, dapat pula (tarif) 19 peratus. Tak mustahil kita (Malaysia) dikenakan pula tarif sehingga 40 peratus, ini menjadikan kita tak lagi kompetitif,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi MITI di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, situasi itu boleh mendorong syarikat antarabangsa memindahkan operasi pengeluaran ke negara lain yang dikenakan tarif lebih rendah, sekali gus memberi kesan besar kepada sektor strategik negara.

Menurutnya, sebahagian besar eksport Malaysia ketika ini adalah ke AS dan perkara itu perlu dilindungi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan kerajaan dalam rundingan ART adalah memastikan ia tidak menyentuh soal kedaulatan negara, sebaliknya terhad kepada aspek ekonomi yang boleh dirundingkan.

Katanya, Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam rundingan perdagangan menerusi 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang pernah ditandatangani sebelum ini.

“Kita amat beri perhatian kepada apa yang dipersetujui dan tidak. Selagi ia tak (menyentuh) kedaulatan negara, tetapi bersifat ekonomi (boleh dirundingkan). ART ini pula bersifat unilateral kerana AS mengenakan 19 peratus (ke atas Malaysia), dan apabila dimasukkan dalam perjanjian, kadar itu tidak boleh diubah,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari memperincikan prestasi dagangan Malaysia dengan AS dan China dalam tempoh 2015 hingga 2025, dengan Malaysia merekodkan lebihan dagangan RM518 bilion dengan AS, termasuk RM98 bilion pada 2025 sahaja.

Sebaliknya, dagangan dengan China mencatatkan defisit RM606 bilion bagi tempoh sama, dengan RM146 bilion direkodkan tahun lalu, sekali gus menunjukkan kepentingan Malaysia mengekalkan portfolio perdagangan dengan ekonomi terbesar dunia itu.

Loading...
Terkini