
Oleh: Afrina Romzi & Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sekitar 4.9 peratus tahun lalu, lebih tinggi berbanding unjuran rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) antara empat hingga 4.8 peratus.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, keadaan itu menunjukkan semua enjin ekonomi sedang bergerak, merangkumi penggunaan, penyertaan tenaga buruh, pelaburan serta dasar kerajaan.
“Kita telah memasuki kitaran peningkatan pelaburan sejak 2023. Jenis pelaburan yang diterima ketika ini adalah pelaburan berkualiti tinggi yang mewujudkan aktiviti bernilai tambah serta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Dasar Fiskal dan Monetari bersempena Forum Ekonomi Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Walaupun berdepan tarif dan gangguan perdagangan, Abdul Rasheed berkata sektor perdagangan negara terus berkembang dengan baik.
Eksport terus meningkat dan permintaan kekal kukuh, khususnya sektor elektrik dan elektronik, yang disokong oleh pertumbuhan industri kecerdasan buatan.
Selain itu, sektor pelancongan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, apabila jumlah ketibaan pelancong dari Januari hingga Oktober tahun lalu telah melepasi angka 2023, malah mengatasi tahap sebelum pandemik.
“Satu perkara penting ialah perbelanjaan per kapita pelancong juga lebih tinggi, berbanding tempoh pandemik. Semua faktor ini akan terus menyokong pertumbuhan pada 2026,” jelasnya.
Tambah beliau, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh dengan pasaran eksport yang pelbagai.
Dari sudut risiko, walaupun terdapat banyak ketidaktentuan, BNM kekal bersikap optimistik secara berhati-hati terhadap prospek 2026.
“Yang penting adalah memastikan persekitaran yang kondusif dari segi kestabilan monetari dan kebolehjangkaan dasar bagi mencapai pertumbuhan mampan,” jelas beliau.
Tambah Abdul Rasheed, inflasi Disember tahun lalu adalah 1.6 peratus, manakala bagi 2025 sekitar 1.4 peratus dan dijangka terus sederhana tahun ini berikutan kos global yang semakin stabil.
Katanya, dasar monetari dengan kadar dasar semalaman pada 2.75 peratus terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan sesuai dengan keadaan semasa tanpa mewujudkan permintaan berlebihan.



