
Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Kerajaan bakal mengadakan siri perbincangan bersama Majlis Media Malaysia (MMM) susulan kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan pihaknya bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan, selaras dengan kematangan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tengah malam tadi berhubung perkara itu.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada membuat panggilan kepada saya tengah malam tadi untuk membincangkan perkara ini. Apa yang beliau sampaikan, maklumkan kepada saya berkait juga dengan memantapkan Majlis Media Malaysia.
“Kita telah sediakan dana inovasi media untuk membantu lebih banyak syarikat organisasi media berdepan dengan cabaran perubahan-perubahan yang terlalu mendadak mengakibatkan sama ada kehilangan perbelanjaan pengiklanan advertising expenditure,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi bekerjasama dalam reka bentuk dan pembangunan infrastruktur bagi Sovereign AI Cloud yang selamat, serta berdaulat, aplikasi AI termaju antara syarikat Magna AI dan Kumpulan Zchwantech.
Menurutnya, perbincangan berkenaan bakal memperincinkan berkenaan cabaran semasa yang dihadapi pengamal media serta syarikat media.
“Dari segi produktiviti bagi para pekerja cabaran teknologi, cabaran saya lihat ada beberapa perkara yang akan kita susuli tapi kita akan adakan beberapa perbincangan dengan MMM.
“Kerana itu yang kita lihat adalah badan perwakilan rakan-rakan dalam industri media dan sesuai untuk kita bincang lebih lanjut,” katanya.
Semalam Perdana Menteri pada sesi dialog Temu Anwar di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di Ibu Negara menyatakan bahawa negara sekarang sudah merdeka, bebas, jadi kita harus beri ruang seiring dengan peredaran masa.
“Harus beri ruang lebih terbuka, orang boleh tegur, boleh beri pandangan, tetapi mesti ada juga satu ruang yang kecelaruan itu ataupun keterlanjuran itu juga dibetulkan,”
Bagaimanapun tegas Anwar, kebebasan media itu tidak bersifat mutlak bagi mengelakkan penyebaran fitnah serta sebarang bentuk provokasi melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.



