
Oleh: Muhaamad Hafis Nawawi
KUALA LUMPUR: Akibat terlelap ketika memandu, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an merempuh tembok pagar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy di Jalan Kampung Pasir, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.50 pagi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Vios yang sedang dalam perjalanan dari arah Pantai Dalam menghala ke Jalan Klang Lama.
“Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai terlelap sebelum kenderaan terbabit hilang kawalan lalu merempuh tembok batu pagar sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, tembok pagar sekolah mengalami kerosakan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Pemandu terbabit sudah tampil ke balai polis untuk membuat laporan dan memberi keterangan lanjut bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



