
JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kluster Tuberkulosis (tibi) di Kota Tinggi pada 25 Januari lalu, dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Februari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pasukan KKM kini berada di lapangan dan sedang mengambil tindakan bagi membendung penularan wabak itu.
“Semua pesakit yang dikesan positif telah menerima rawatan dan sedang dipantau rapi oleh pihak KKM,” katanya menerusi hantaran di laman X lewat malam tadi.
Dzulkefly berkata satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan ia bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.
Jelasnya, KKM kini berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi, dengan tindakan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) diteruskan bagi memastikan keselamatan komuniti setempat.
Beliau turut menasihatkan penduduk sekitar yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam atau berpeluh pada waktu malam supaya segera menjalani saringan kesihatan dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.



