
Oleh: Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan larangan pemanduan terhadap kenderaan barangan dan berat sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 14 hingga 15 Februari serta 21 hingga 22 Februari ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan berkenaan.
Menurutnya, larangan pergerakan itu membabitkan tiga kategori kenderaan iaitu kategori 1 yang dikenakan larangan sepanjang masa pada tarikh terbabit; kategori 2 yang dilarang bergerak dari jam 8 pagi hingga 8 malam; serta kategori 3 dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
“Kategori 1 membabitkan lori pembawa dan lori jongket yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kilogram (kg), lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak dan jentera berat beroda, kecuali trak tunda dan traktor yang digunakan bagi maksud operasi kecemasan dan menyelamat.
“Antara kenderaan bawah kategori 1 termasuk lori pengangkut barangan simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan yang lain, amang, bijih timah, aras batu dan bahan galian yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kategori 2 pula merangkumi lori kontena yang mengangkut barangan, kecuali kenderaan dari pelabuhan atau lapangan terbang yang menghantar barangan ke kawasan perindustrian dalam negeri, selain lori membawa muatan kelapa, susu getah serta lori tanpa muatan.
“Kategori 3 membabitkan kenderaan pembinaan antaranya kren bergerak dan lori pembancuh simen, namun diberikan pengecualian bagi kerja-kerja kecemasan. Mana-mana kenderaan barangan atau jenis barangan yang tidak dinyatakan dalam jadual adalah dibenarkan menggunakan kenderaan dalam tempoh larangan,” katanya.



