
Oleh: Afrina Romzi & Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit menunjukkan isyarat jelas terhadap pemulihan keyakinan terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yang ditadbir dengan disiplin dan tujuan yang jelas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun faktor luaran memainkan peranan, mata wang tempatan mencerminkan kepercayaan terhadap institusi dan hala tuju dasar.
“Kepercayaan itu sedang dibina semula kerana kerajaan mengambil pendirian yang jelas, berprinsip dan tegas tanpa kompromi dalam soal tadbir urus.
“Tiada toleransi terhadap rasuah dan tiada pengecualian kepada pihak yang berkepentingan.
“Tanpa akauntabiliti, tiada kredibiliti dan tanpa kredibiliti, tiada pertumbuhan yang mampan,” katanya pada ucaptama Forum Ekonomi Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Namun, tegas Anwar, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi dan reformasi institusi perlu diteruskan tanpa sebarang kompromi.
Jelasnya, usaha ini telah menunjukkan hasil daripada reaksi positif pelabur menerusi keputusan pelaburan mereka serta penilaian semula terhadap risiko ekonomi Malaysia.
“Mereka melihat tadbir urus yang lebih kukuh, hala tuju yang lebih jelas serta sebuah negara yang serius tentang kestabilan jangka panjang,” ujarnya.
Dengan asas ini, Anwar berkata keyakinan mesti diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik.
Justeru, strategi ekonomi negara menggabungkan disiplin makroekonomi dengan sokongan bersasar bagi memastikan pertumbuhan meningkatkan taraf hidup sebenar.
“Pembangunan ialah tentang memperluas peluang. Ia bukan sekadar meningkatkan output atau memperbaiki statistik, tetapi memperbesar apa yang rakyat secara realistik boleh cita-citakan dan capai dalam kehidupan mereka,” katanya.
Menurut Anwar, pertumbuhan hanya bermakna apabila ia membuka pintu kepada pendidikan, pekerjaan yang bermaruah, mobiliti sosial serta keupayaan merancang masa depan dengan yakin.



