Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Nasional

Semua pihak perlu terlibat dalam peralihan tenaga negara – Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Dasar Tenaga Negara (DTN) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) memerlukan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, swasta, komuniti, malah setiap individu bagi mencapai semua sasaran yang digariskan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Yang penting sekarang adalah bagaimana semua pihak — pembekal tenaga, penyedia grid, penyedia teknologi, dan rakyat — terlibat, bukan sahaja dalam penjanaan dan pengagihan tenaga, tetapi juga dalam kecekapan tenaga,” katanya kepada media selepas menghadiri forum Pengurusan Kelestarian dan Peralihan Tenaga sempena Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di sini hari ini.

Beliau menekankan keperluan penggunaan peralatan cekap tenaga bagi memantau dan menjimatkan penggunaan tenaga negara.

Tegas beliau, keberhasilan peralihan tenaga bergantung kepada kerjasama semua pihak.

DTN 2022-2040 bertujuan memastikan sektor tenaga mampan, berdaya tahan, dan menyokong aspirasi rendah karbon menjelang 2040.

Sasaran utamanya merangkumi jaminan bekalan tenaga yang selamat dan mampu bayar, peningkatan kecekapan tenaga, serta peralihan ke arah sumber tenaga bersih, termasuk sasaran 38% penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Manakala, NETR menetapkan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencapai 70 peratus menjelang 2050.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya berlaku peningkatan harga tenaga, kerajaan perlu memastikan mekanisme perlindungan diwujudkan bagi menjamin kumpulan berpendapatan rendah dan golongan memerlukan terus mendapat bekalan tenaga.

Beliau menjelaskan harga tenaga masa depan bergantung kepada kos dan sumber tenaga, memandangkan negara masih bergantung kepada sumber seperti arang batu dan gas.

“Prinsip keterangkuman amat penting. Tiada sesiapa harus ketinggalan dalam apa jua aspek peralihan tenaga ini,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu menyeimbangkan trilema utama sektor tenaga iaitu keselamatan tenaga, keterjangkauan harga dan kemampanan alam sekitar bagi memastikan peralihan tenaga negara berjalan secara adil dan mampan.

Loading...
Terkini