
Oleh: Ing Boon Seng
KUALA LUMPUR: Setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO berkenaan berjumlah RM4.2 juta.
Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga Sabtu ini selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Ezrene Zakariah pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024.
“Suspek dipercayai telah melulus dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua buah syarikat lain bagi tujuan pelaburan di mana individu-individu di dalam pengurusan persatuan dipercayai mempunyai kepentingan di dalam syarikat-syarikat tersebut,” katanya.
Tambah sumber berkenaan, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam, memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan di Gaza.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.



