
TANJUNG MALIM: Kemalangan ngeri yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam insiden di Lebuhraya Timur-Barat semalam ternyata memberi kesan mendalam kepada para pelajar institusi pendidikan tersebut.
Dalam tinjauan Buletin TV3 di universiti itu hari ini, rata-rata pelajar yang ditemui meluahkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa mangsa.

Wan Nur Alia Najwa Wan Mohd Zulkifli, 20, yang juga berasal dari Terengganu, mengenali salah seorang mangsa dalam kemalangan tragis itu.
“Terkejut bila tengok senarai nama (mangsa kemalangan), rupanya ada orang yang saya kenal. Bila dapat berita itu, memang saya terkejut lah.
Ibu saya pun ada WhatsApp tanya pasal kejadian itu dan tempat kejadian tu pula tempat yang selalu ada kemalangan,” katanya.
Bercerita lanjut, ujarnya, beliau pernah berdepan situasi bau hangit apabila bas yang dinaikinya sebelum ini dipandu laju.
“Bila dia (mangsa) cakap bau hangit tu, faham lah sebab ada pengalaman. Kebanyakan masa saya naik bas balik atau nak balik UPSI memang akan laju. Tapi tak pelik (bau hangit) tu, sebab benda tu memang dah biasa,” katanya lagi.

Seorang lagi penuntut, Nur Qisthina Najwa Mohd Syauki Azahar, 19, pula memaklumkan menerima berita kemalangan ngeri itu ketika beliau dalam perjalanan pulang menaiki bas ke UPSI.
“Dalam jam 3 pagi (semalam), saya dah tengok ada orang post gambar bas terbalik. Mak saya dah telefon tanya saya dekat mana.
Masa tu saya dekat Gua Musang. Bila dapat tahu kejadian tu, saya tak boleh tidur lena, saya pun dalam perjalanan ke UPSI,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi semalam, 15 penuntut UPSI terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak.
Mereka adalah empat pelajar dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) iaitu Nurul Izyanti Muhamad Azahar, Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, Muhammad Adib Hazim Halim dan Nurul Fatihah Abu Setaman.


Tiga pelajar Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) iaitu Nur Ainul Qistina Mat Ali, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma dan Nurly Sahirah Azman.
Dua pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) iaitu Sufea Adela Maslihaizan dan Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir serta dua lagi pelajar Fakulti Sains Matematik (FSMT) iaitu Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian dan Fatin Nasrien Fadli.
Mangsa lain turut terkorban, Muhammad Mustaqim Rosde (Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSLIK); Nor Ayuni Maslan daripada Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV); Anis Soffiyya Md Zaidi (Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ) dan Fakhrul Arif Rosdi dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPEK).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.



