Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Seantero

Lebih 143,000 penduduk dipindahkan akibat banjir besar di Maghribi

AFP

RABAT: Pihak berkuasa Maghribi memindahkan lebih 143,000 penduduk dari kawasan barat laut negara itu susulan ancaman banjir besar akibat hujan lebat berterusan, sungai melimpah dan pelepasan air dari empangan yang penuh.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi berkata, penduduk di kawasan berisiko telah diarahkan berpindah segera sejak Rabu, manakala operasi menyelamat menggunakan helikopter digerakkan selepas air mula menenggelami kampung dan ladang, lapor Arab Weekly.

Tentera turut dikerahkan sejak Jumaat lalu bagi membantu pemindahan, susulan amaran tahap merah yang menjangkakan hujan lebat berterusan minggu ini.

Wilayah Gandum Utama Terjejas

Wilayah barat laut dikenali sebagai Gharb, kawasan pengeluar gandum utama negara mengalami banjir teruk selepas beberapa minggu dilanda hujan.

Data rasmi menunjukkan jumlah hujan meningkat 215 peratus berbanding tahun lalu dan 54 peratus melebihi purata sejarah.

Empangan Melebihi Kapasiti

Pihak berkuasa turut menyuarakan kebimbangan terhadap Empangan Oued Makhazine berhampiran Ksar El Kebir yang kini beroperasi pada 146 peratus kapasiti, sekali gus memaksa pelepasan air bagi mengelakkan risiko runtuhan.

Akhiri Kemarau Tujuh Tahun

Walaupun membawa kemusnahan, hujan luar biasa ini menamatkan kemarau tujuh tahun di Maghribi, yang sebelum ini memaksa kerajaan mempercepat pelaburan dalam loji penyahgaraman air.

Kadar pengisian empangan negara kini meningkat kepada hampir 62 peratus, berbanding 27 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Loading...
Terkini