
MANCHESTER: Pengurus interim Manchester United, Michael Carrick, menegaskan para pemain perlu memahami sejarah kelab, termasuk tragedi nahas udara Munich, menjelang ulang tahun ke-68 insiden berkenaan.
Pasukan United ketika itu dalam perjalanan pulang daripada kemenangan Piala Eropah ke atas Red Star Belgrade apabila pesawat mereka terhempas di Munich selepas mengisi minyak.
Tragedi itu mengorbankan 23 nyawa, termasuk 11 pemain dan kakitangan kelab.
Carrick berkata demikian ketika sidang media praperlawanan pada Khamis, menjelang aksi menentang Tottenham yang diawalkan sehari bagi mengelakkan pertindihan dengan majlis peringatan tragedi Munich di Old Trafford.
“Sejurus anda datang ke kelab ini, anda akan dimaklumkan, dan mustahil untuk tidak mengetahui serta memahami sejarahnya,” kata Carrick.
Beliau menambah, “Munich mungkin bahagian paling besar dalam sejarah kelab ini dari segi tragedi itu sendiri, bagaimana pasukan dan kelab bangkit daripadanya sebelum kembali mencipta kejayaan, dan segala yang dibina selepas itu.”
Carrick memulakan tugas dengan cemerlang selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas Manchester City, Arsenal dan Fulham.
Beliau kini mempunyai masa latihan yang lebih fleksibel apabila United dijadualkan hanya mengharungi 40 perlawanan musim ini — jumlah terendah sejak kempen 1914/15.
Situasi itu membuka peluang untuk penganjuran perlawanan persahabatan berprofil tinggi, termasuk kemungkinan jelajah ke Arab Saudi dalam beberapa bulan akan datang.
“Kami sedar dengan jadual perlawanan dan terdapat ruang yang boleh dimanfaatkan dengan cara berbeza. Jadi, semuanya masih dalam perbincangan ketika ini,” kata Carrick.
Dalam perkembangan pasukan, Patrick Dorgu masih tidak dapat diturunkan akibat kecederaan hamstring, manakala Matthijs de Ligt dan Mason Mount dijangka kembali beraksi tidak lama lagi, namun akan terlepas perlawanan menentang Tottenham. – AFP



