
Oleh: Helmi Talkah
KUALA LUMPUR: Ratu wushu negara, Tan Cheong Min dan perenang kebangsaan, Khiew Hoe Yean muncul penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas masing-masing dinobatkan sebagai atlet terbaik Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025.
Cheong Min menerima insentif RM26,666.67 hasil kejayaan meraih dua pingat emas dalam acara gabungan nanquan, nandao dan nangun, selain acara duilian berpasukan wanita bersama Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee.
Sementara itu, Hoe Yean muncul penerima insentif tertinggi kategori lelaki apabila membawa pulang RM32,000 selepas memenangi emas acara 200 meter (m) dan 400m gaya bebas, selain dua pingat perak menerusi acara 4x200m dan 4x100m gaya bebas.
Cheong Min menyifatkan ganjaran diterimanya sebagai hasil usaha kolektif membabitkan pelbagai pihak sepanjang tempoh persiapannya yang padat sejak tahun lalu.
“Bermula 2025, jadual pertandingan saya bermula dari Julai hingga Disember dengan kemuncaknya Sukan SEA. Sepanjang tempoh itu, kerjasama semua pihak termasuk MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia), KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Persekutuan Wushu Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian SHAKAM di sini, hari ini.
Secara keseluruhan, MSN mengagihkan RM2.652 juta insentif SHAKAM kepada atlet daripada 46 jenis sukan berdasarkan pencapaian pada Sukan SEA Thailand 2025, dengan kontinjen Malaysia yang dibarisi 1,142 atlet meraih 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa.
Sukan hoki mencatat jumlah agihan tertinggi dengan RM316,800 menerusi acara hoki padang, dalam dewan dan 5 sebelah.
Sementara itu, perenang para negara, Abdul Halim Mohammad dan Carmen Lim muncul penerima insentif tertinggi masing-masing dengan RM62,000 dan RM39,000 bagi Sukan Para ASEAN Thailand 2025.
Secara keseluruhan, kontinjen para negara menerima RM1.475 juta insentif hasil kutipan 201 pingat.



