Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Sukan

JDT, Nam Dinh terikat 1-1 di Vietnam

Bergson Da Silva meraikan jaringannya buat JDT.  Foto Johor Southern Tigers

Oleh: Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Impian peminat bola sepak tanah air untuk melihat dua wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor bertembung di pusingan separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) tidak kesampaian.

Ia susulan JDT terikat 1-1 dengan kelab Vietnam, Nam Dinh dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thien Truong, malam ini, sekali gus menamatkan saingan kumpulan selaku naib juara.

JDT yang merekodkan tiga kemenangan dan dua seri mengumpul 11 mata, dua mata di belakang Nam Dinh yang mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan B.

Skuad Harimau Selatan akan menentang gergasi Thailand, Buriram United yang muncul juara Kumpulan A, manakala Selangor berdepan Nam Dinh pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 13 Mei ini.

Pada aksi malam ini, mesin gol JDT, Bergson Da Silva terlepas peluang seawal minit kedua untuk merobek gawang tuan rumah apabila gagal melakukan sentuhan lebih kemas bola hantaran Hector Hevel di depan pintu gol.

Sepakan percuma menarik Hevel pada minit ke-30 pula diselamatkan penjaga gol Nam Dinh, Tran Nguyen Manh dan lebih malang, tidak sampai seminit selepas itu pasukan tuan rumah memperoleh sepakan penalti selepas penyerang mereka, Caio Cesar dijatuhkan Syahmi Safari.

Sepakan penalti yang diambil Cesar berjaya ditampan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre, namun Nguyen Van Vi pantas melakukan tindakan susulan untuk meledak gol pembukaan Nam Dinh.

Nam Dinh sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54 selepas pengadil melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) yang menyaksikan bola sepakan Van Vi terkena tangan Hevel.

Skuad kendalian Xisco Munoz bagaimanapun bernasib baik apabila Zubiaurre bertindak cemerlang dengan melayangkan badan untuk menyelamatkan sepakan penalti yang diambil Percy Tau.

Ketika perlawanan berbaki tiga minit, giliran JDT pula diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mitchell Dijks dan peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Da Silva untuk meledak gol penyamaan.

Loading...
Terkini