
DHAKA: Sekurang-kurangnya 16 orang, kebanyakannya pelajar terkorban selepas sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara Bangladesh terhempas di kawasan sekolah di sini hari ini.
Menurut pejabat pemimpin sementara negara itu, Muhammad Yunus, lebih 100 yang lain cedera dengan sekurang-kurangnya 83 sedang menerima rawatan di beberapa hospital,
Pesawat jenis F-7 BJI buatan China itu berlepas pada jam 1:06 tengah hari waktu tempatan (0706 GMT) sebelum terhempas tidak lama kemudian di kawasan Sekolah dan Kolej Milestone.
Seorang jurufoto AFP yang berada di lokasi kejadian menyaksikan pasukan bomba dan penyelamat mengusung pelajar yang cedera menggunakan alat pengusung.
Yunus menerusi satu hantaran di platform X melahirkan rasa sedih dan dukacita yang mendalam terhadap insiden itu.
“Kehilangan yang dialami oleh Tentera Udara, pelajar, ibu bapa, guru-guru, dan kakitangan Sekolah dan Kolej Milestone, serta semua yang terjejas akibat nahas sesuatu yang tidak dapat diganti.
“Ini adalah detik menyayat hati kepada negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.



