Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
NILAI: Kira-kira seribu penduduk di Taman Desa Kasia, Nilai, Negeri Sembilan berdepan risiko keselamatan, selepas jalan utama di kawasan mereka rosak dan tidak disiapkan mengikut spesifikasi standard.
Penduduk mendakwa keadaan jalan di kawasan perumahan mereka yang berlubang dan rosak teruk sejak hampir setahun lalu, mendatangkan bahaya kepada pengguna setiap hari.
Menurut mereka, masalah berkenaan telah menyebabkan berlaku beberapa kemalangan kecil yang tidak ragut nyawa sekali gus meresahkan mereka jika tindakan hanya diambil selepas berlaku kejadian yang lebih serius.

Seorang penduduk, G Gokilawani berkata, anak saudaranya pernah terbabit kemalangan di selekoh jalan raya tersebut tahun lalu.
“Anak saudara saya terpaksa dimasukkan ke hospital akibat kemalangan ketika melalui jalan ini. Nasib baik dia selamat,” katanya.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Kasia, Omarruddin Ibrahim aduan rasmi telah dibuat kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Disember tahun lalu, selain pertemuan dengan wakilnya pada Januari.

Namun, setakat ini hanya dua kali kerja tampalan dilakukan tetapi tidak menyelesaikan masalah.
“Kalau tengok, ada bulatan yang tiba-tiba muncul, walhal dalam perancangan awal memang tiada.
“Tengok pula keadaan jalan yang telah ditar, manhole masih tersembul. Ia sekali gus mendatangkan bahaya buat penduduk setempat dan juga lebih-lebih lagi untuk orang luar yang menggunakan laluan ini.” katanya.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz memberitahu, keadaan itu merisaukan kerana itu merupakan laluan utama untuk keluar dan masuk penduduk.
“Memang sangat teruk, sebab mereka ada datang tapi yang saya nampak macam ada proses gam sahaja, mereka tidak tampal sepenuhnya. Dan tampal pun macma untuk sementara.
“Tar tu terkopek dan melekat dekat kereta, lagi-lagi bila kenderaan berat macm lori atau bas sekolah lalu di kawasan ini,” katanya.

Tinjauan mendapati keadaan jalan tidak rata menyebabkan pemandu perlu berhati-hati, selain menjadi punca kerosakan kenderaan.
Situasi bertambah buruk apabila kerja infrastruktur seperti pembetungan dan pendawaian tidak disiapkan mengikut jadual.
Dapat dilihat bukan sahaja penghadang jalan plastik, malah kabel turut dibiarkan di tepi jalan.
MBS dalam maklum balasnya menjelaskan taman perumahan berkenaan masih belum diserahkan secara rasmi kepada pihaknya untuk tujuan penyelenggaraan dan pemantauan.
Bagaimanapun, pada 11 Ogos lalu, MBS mengadakan perjumpaan bersama pemaju dan kontraktor sebelum memutuskan kerja pembaikan semula jalan akan dilaksanakan. Ia dijangka siap pada penghujung Oktober ini.



