Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LANGAT: Penduduk Kampung Tumbuk Darat di Kuala Langat, Selangor, berdepan situasi tertekan apabila kediaman mereka dihurung lalat sejak empat bulan lalu.
Masalah itu dipercayai berpunca daripada sebuah ladang ternakan ayam berhampiran yang didakwa beroperasi tanpa lesen, sekali gus menimbulkan kacau ganggu serius kepada komuniti setempat.
Penduduk mendakwa lalat memenuhi ruang rumah, hinggap pada makanan serta mengganggu rutin harian, selain risiko kepada kebersihan dan kesihatan yang menjejaskan kira-kira 160 kediaman di kampung berkenaan.
Ketua Kampung Tumbuk Darat, Nasri Mohd Jais, 49, berkata jumlah lalat di kawasan berkenaan kembali meningkat sejak beberapa minggu lalu.
“Hingga tak sudah rasanya. Sekejap banyak, kemudian surut semula. Sekarang ini datang kembali, mungkin akibat kesan reban atau faktor lain,” katanya.
Penduduk Mohd Samsul Tukilin, 50, berkata jumlah lalat biasanya memuncak setiap kali musim hujan atau selepas ayam dikeluarkan dari reban.
“Kalau musim panas, jumlahnya kurang kerana mungkin berlegar ke tempat lain. Tapi bila musim hujan, ia cari sisa makanan. Memang terlalu banyak, terutama selepas kenduri,” ujarnya.
Penduduk lain, Mazeni Shamsuddin, 53, juga tidak terkecuali berdepan masalah sama.
“Rumah saya betul-betul dekat dengan kandang ayam, dalam lima kebun saja. Kalau musim raya, pelekat lalat boleh habis tujuh hingga lapan keping sehari,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga makanan, Norhafizah Johar, 46, berkata gangguan lalat tersebut turut menjejaskan urus niaganya.
“Dari pagi lagi lalat sudah datang. Kita pasang kipas dan jaga kebersihan, tapi (lalat) tetap ada. Memang mengganggu,” jelasnya.
JPV Selangor sita 10,000 ayam
Aduan penduduk terus mendapat perhatian Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, yang melakukan pemeriksaan di ladang terbabit baru-baru ini.
Tinjauan Buletin TV3 mendapati ladang seluas dua hektar itu tidak diselenggara dengan baik, termasuk kegagalan membersihkan najis ayam secara sempurna.
Lima reban di ladang itu yang menempatkan kira-kira 10,000 ayam juga didakwa hanya diuruskan seorang pekerja, sekali gus menjadi punca pertambahan lalat di kawasan sekitar.
Lebih membimbangkan, ladang tersebut didapati beroperasi tanpa lesen yang sah dan turut menggaji pekerja warga asing.
Pengarah JPV Selangor, Dr Hassuzana Khalil, berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk sejak tiga bulan lalu.
“Tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut Seksyen 25(2) Enakmen Perladangan Unggas 2007. Kita menyita semua ayam kira-kira 10,000 ekor dan dibenarkan membuat penjualan,” katanya.
Kita juga boleh merobohkan struktur reban serta membawa kes ke mahkamah,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, pemilik ladang pernah dikenakan kompaun RM2,000 namun gagal menjelaskan bayaran, menyebabkan tindakan lanjut terpaksa diambil.
Reban ayam haram itu turut dirobohkan Rabu lalu dalam operasi bersepadu membabitkan JPV Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan polis.
Dr Hassuzana menegaskan usaha penguatkuasaan terhadap ladang ternakan haram akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan awam terpelihara.



