
KUALA LUMPUR: Budaya buli di sekolah wajar diklasifikasikan sebagai satu bentuk keganasan yang memberi kesan serius terhadap kesihatan mental dan emosi pelajar dan kini tidak boleh lagi dianggap sebagai salah laku disiplin, sebaliknya
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perbuatan buli boleh menyebabkan mangsa mengalami trauma psikologi berpanjangan, kemurungan, ponteng sekolah dan dalam kes ekstrem, mencetuskan cubaan membunuh diri.

Beliau berkata, setiap pelajar berhak belajar dalam suasana yang selamat, menyokong dan bebas daripada ketakutan.
“Justeru pendekatan menyeluruh membabitkan pelbagai pihak amat diperlukan bagi menangani isu ini secara berkesan.
“Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya perlu memperkemas dan menguatkuasakan dasar anti buli yang jelas di semua sekolah, dengan mengenakan hukuman setimpal bagi pelaku dan langkah perlindungan bagi mangsa.
“Selain itu, pendidikan moral dan nilai murni juga mesti diperkasakan sejak peringkat prasekolah supaya pelajar dididik untuk menghormati perbezaan serta mengamalkan empati, ihsan dalam interaksi harian,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.
BH melaporkan, sekurang-kurangnya 10 faktor dikenal pasti mendorong gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah, terutama di asrama yang boleh memudaratkan mangsa seumur hidup.
Hasil kajian dan pemerhatian pakar merumuskan faktor melahirkan pembuli adalah budaya senioriti yang toksik di sekolah, kurang kemahiran pengurusan emosi dan tiada empati, perasaan terpaksa berjauhan dengan ibu bapa bapa pada usia muda bagi pelajar di asrama, selain mengikut arus kerana tidak mahu dilihat lemah oleh rakan sebaya.
Lam Thye berkata, pihak sekolah juga harus dibekalkan dengan kaunselor terlatih yang mencukupi bagi mengenal pasti pelajar berisiko sama ada mangsa mahupun pelaku dan memberikan sokongan psikososial secara berkala.
“Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana pendidikan bermula di rumah.
“Kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa amat penting dalam mendidik anak-anak supaya tidak terbabit dalam perbuatan membuli atau menjadi mangsa buli yang berdiam diri,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, satu sistem aduan secara sulit perlu diwujudkan, termasuk dalam bentuk digital, untuk memberi ruang kepada mangsa atau saksi melaporkan kejadian tanpa rasa takut.
“Selain itu, guru dan kakitangan sekolah mesti diberi latihan untuk mengesan tanda-tanda buli serta menangani situasi itu dengan berkesan dan penuh profesionalisme.
“Sudah tiba masanya pihak sekolah, kerajaan, ibu bapa dan masyarakat berganding bahu untuk menghapuskan budaya buli untuk masa depan anak-anak kita,” katanya.



