Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Infografik

Resolusi Muzakarah SUHAKAM cadang gubal fatwa berkaitan isu kanak-kanak terdampar

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Resolusi Muzakarah Isu-isu Hak Asasi Manusia mencadangkan agar penggubalan fatwa dilakukan bagi menjelaskan isu berkaitan bayi dan anak-anak terdampar, Al-Laqit secara lebih terperinci.

Ia selepas mendapati fenomena berkenaan sentiasa berlaku dalam pelbagai tempat dan situasi dalam negara.

“Atas dasar menjaga nyawa, akal dan maruah manusia, maka tanggungjawab adalah terletak di bahu pemerintah untuk memastikan aspek penjagaan, kebajikan, perlindungan dan keselamatan kanak-kanak terdampar terjamin, sehinggalah mereka mencapai usia dewasa serta boleh hidup berdikari.

“Penggubalan fatwa perlu dilakukan bagi menjelaskan isu al-laqit ini secara lebih terperinci,” menurut kenyataan SUHAKAM.

Muzakarah Isu-isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah anjuran SUHAKAM berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Selain itu, muzakarah berkenaan turut menyokong usaha agar umur perkahwinan kanak-kanak mestilah 18 tahun ke atas.

“Syariat Islam amat menekankan aspek pendidikan kanak-kanak, iaitu bagi menjamin kemenjadian individu yang beriman dan berakhlak.

“Justeru, adalah wajar dan adil menyokong usaha agar umur perkahwinan kanak-kanak mestilah 18 tahun ke atas, berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 (CRC).

“Satu mekanisma yang mampan dan komprehensif perlu diguna pakai bagi menyantuni kes-kes khusus perkahwinan bawah umur, semata-mata bagi mengelak kemudaratan yang lebih besar.” katanya.

Selain itu, muzakarah turut mencadangkan agar kerajaan dan pemegang taruh menyegerakan penstrukturan undang-undang berkaitan akses kepada pelarian, supaya aspek perlindungan, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan hak berkeluarga (berkahwin) mereka lebih terjamin.

“Resolusi itu menzahirkan komitmen semua pemegang taruh terhadap perlindungan maruah dan integriti setiap insan, dengan berpaksikan prinsip undang-undang tertinggi negara dan nilai-nilai Islam yang rahmatan lil ‘alamin.

“Muzakarah menyeru agar dialog inklusif dan reformasi dasar dilaksanakan segera untuk memastikan sistem perundangan Malaysia adalah selaras dengan prinsip hak asasi manusia sejagat.” ujarnya.

Berkaitan hukuman alternatif, muzakarah mencadangkan satu kajian menyeluruh dilaksanakan oleh kerajaan dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, untukmenilai kesan fizikal dan mental serta meneliti keberkesanan hukuman ini
dari sudut pencegahan dan pemulihan.

“Perlunya mempertingkatkan kesedaran mengenai konsep hukuman sebatan berdasarkan sejarah Islam dan Maqasid Syariah dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, usaha untuk semakan semula undang-undang dan peraturan sedia ada perlu diperkukuh di peringkat agensi.” menurut kenyataan itu lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini