Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Politik

ANALISIS: PRN Sabah ke-17 beri isyarat jelas penguasaan, dominasi parti tempatan

Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di Teluk Likas, Kota Kinabalu. – Foto fail NSTP

Oleh: Mohd Nasaruddin Parzi

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 melabuh tirainya dengan membawa isyarat besar dari rakyat di negeri bawah bayu, khususnya kepada pentadbiran di Putrajaya serta parti politik yang mempunyai asas dan kekuatan di Semenanjung.

Melihat momentum kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini, gabungan parti yang baharu dibentuk awal 2023, kini mula membina pengaruhnya di Sabah.

Mereka kini pesaing kuat Parti Warisan (WARISAN) yang ditubuhkan lebih awal.

GRS mengikut jejak dan langkah pembentukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 lalu.

Matlamatnya sama, untuk membentuk sebuah parti tempatan dominan dan memiliki keupayaan menerajui negeri masing-masing.

Usaha itu tidak seharusnya dilihat sebagai membawa signal negatif, bahkan bukan pun untuk mencabar dominasi kuasa Putrajaya atau mana-mana parti dari Semenanjung.

Sebaliknya demi melihat keseimbangan dalam pengaruh kuasa politik di Malaysia, khususnya dalam konteks suara dari Borneo.

Ia sekaligus mengembalikan nostalgia lama, ketika parti tempatan pernah mendominasi kuasa di Sabah dulu, namun bergoncang dan berantakan pada penghujung 1980-an, menyaksikan UMNO dijemput untuk mula bertapak di Sabah pada 1991.

Ia kemudian disusuli kehadiran parti lain seperti DAP, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) selepas itu.

Bibit mengembalikan penguasaan politik tempatan di Sabah, paling jelas kelihatan sejak pasca PRU 2018.

Ia hadir dari kesedaran pemimpinnya sendiri yang melihat perpecahan politik di Semenanjung ketika itu, tidak memberi faedah kepada mereka, mengakibatkan tuntutan autonomi negeri yang selama ini dilaungkan seakan mula dipinggirkan.

Maka berbekal pengalaman politik yang ada, membangkit kesediaan dalam kalangan pemimpinnya untuk mencorak sendiri kepimpinan politik negeri.

Di samping untuk memperjuang bagi memperbaiki beberapa kelemahan dalam tadbir urus negeri, projek pembangunan infra yang masih membelenggu Sabah sampai hari ini, selain tuntutan hak negeri berkait pemberian khas 40 peratus pusat serta memenuhi komitmen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam temu bual bersama pemimpin GRS, mereka berulang kali menekankan, penubuhan gabungan itu bukan untuk mencabar sesiapa, sebaliknya mereka adalah parti politik yang memperjuang, mewakili suara anak tempatan, selain berwadahkan politik kesederhanaan.

Mereka juga bersedia untuk menjalin kerjasama kukuh dengan mana-mana parti yang menerajui pentadbiran di Putrajaya, sama ada pada masa ini atau akan datang.

Atas sebab itu, naratif tempatan ini mula diberi tumpuan dalam siri dialog dan diskusi, program di akar umbi serta ceramah politik di pelusuk pedalaman.

Hasilnya, ia berjaya mempengaruhi minda pengundi di Sabah pada PRN kali ini.

Parti tempatan seperti GRS dan WARISAN meraih kemenangan bergaya di kawasan ditandingi masing-masing dengan 29 kerusi dan 25 kerusi DUN.

Dua parti ini turut menawan beberapa kerusi yang selama ini didominasi parti Semenanjung, malah mengenepikan pemimpin utamanya seperti Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak di DUN Usukan, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Jeffrey Nor Mohamed, masing-masing tumbang di DUN Sungai Sibuga dan Tanjung Keramat.

Hanya Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mempertahan kerusinya, namun dengan majoriti terus menyusut kepada hanya 153 undi, berbanding 661 undi pada PRN 2020.

Namun, perkembangan positif sedikit diraih BN menerusi Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup yang berjaya merampas kembali kerusi DUN Sook kali ini.

Keseluruhannya, BN hanya menang di enam kerusi dari 45 kerusi yang ditandingi, merosot berbanding pencapaian 14 kerusi DUN pada PRN 2020.

Kejutan pula berdepan Pakatan Harapan (PH).

Satu-satu wakil adalah di DUN Melalap, itu pun PH memberi laluan kepada GRS untuk meletakkan pemimpinnya yang juga Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar bertanding di sana dan menang kali ini.

DAP pula merekod prestasi terburuk apabila kalah di semua kerusi ditandingi termasuk DUN yang dianggap kubu kuatnya.

Semua kerusi yang sebelum ini didominasi mereka kini dirampas WARISAN.

Faktor perpecahan dalaman DAP Sabah dan peralihan keluar sokongan masyarakat Cina mengakibatkan penguasaan mereka di beberapa DUN lebur.

Keseluruhannya, hanya kira-kira lapan saja kerusi DUN ditandingi parti dari Semenanjung menang dalam saingan PRN kali ini, termasuk enam dari BN serta satu dari PH.

Perikatan Nasional (PN) diwakili PAS pula menyumbang satu kerusi, sekaligus mencipta sejarah tersendiri menang di DUN Karambunai menerusi calonnya yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakhbar Gulasan.

Diakui pengaruh pemimpin berdarah Pakistan-Murut-Dusun itu yang juga bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) memang besar, terutama khidmatnya membina madrasah untuk penduduk di sana.

Pengaruh parti tempatan lain seperti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), diakui masih ada biarpun meraih kemenangan kecil di kerusi ditandingi.

Sekurang-kurangnya mereka masih boleh berperanan sebagai kuasa pengimbang dalam pentadbiran di Sabah selepas ini.

Dalam pembentukan kerajaan Sabah pasca PRN Sabah, penyertaan STAR, KDM dan UPKO, selain empat calon bebas di DUN Pintasan, Bandau, Tulid serta Petagas yang dilihat condong kepada GRS, cukup signifikan dalam melengkapkan bukan saja majoriti mudah, tetapi mengukuhkan kedudukan pentadbiran negeri selepas ini.

Ia sekaligus memberi isyarat penting, tanpa penyertaan BN, PH atau PN dalam pembentukan kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor, pentadbiran Sabah masih boleh berfungsi dengan dominasi kukuh dari parti tempatan.

Cumanya, dengan 25 kerusi DUN yang dimiliki WARISAN, sebarang kemungkinan masih boleh berlaku memasuki penggal baharu pentadbiran negeri.

Apatah lagi Sabah begitu sinonim dengan perilaku lompat parti dalam kalangan wakil rakyatnya.

Biarpun enakmen lompat parti diluluskan di DUN Sabah pada 2023, namun ia masih ada lompongnya.

Justeru, parti politik yang membentuk kuasa di Sabah kali ini harus menerima realiti semasa, bukan sahaja hubungan dan kerjasama dengan kerajaan pusat perlu diperkukuh, sebaliknya hasrat pengundi Sabah sendiri yang mahukan kestabilan politik dicapai perlu dibuktikan dan direalisasikan.

Loading...
Terkini