Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Aduan Rakyat

[VIDEO] Aduan Rakyat: 20 tahun ‘tak tenang tidur’


Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KLANG: Lebih 300 penduduk di Taman Millenium Sentosa Klang dihantui banjir kilat sejak 20 tahun lalu.

Semuanya gara-gara sistem perparitan yang didakwa tidak sistematik dan longkang yang gagal diselenggara sehingga tersumbat sekian lama.

Natijahnya, sebahagian struktur kediaman mereka retak.

Tidak sampai satu jam hujan, air kotor dan berbau akan masuk ke kediaman mereka sehingga dua kaki.

Penduduk, B.Eswary, 42

Penduduk, B.Eswary, 42, berkata banjir menyebabkan kerosakan teruk kepada perabot dan kediaman, sehingga ada yang terpaksa berhabis ribuan ringgit untuk baik pulih.

“Kejadian amat membimbangkan terutama pada waktu malam kerana kebanyakan daripada kami tinggal bersama warga emas dan kanak-kanak.

“Ketika banjir, haiwan seperti ular sawa dan biawak juga menjadi ancaman malah air banjir yang kotor dan busuk, turut menyebabkan saya mengalami gejala gatal berpanjangan di bahagian kaki,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, penduduk turut dihantui isu struktur rumah retak dan senget.

Penduduk, Lai Tiong Chow, 42

Menurut penduduk Lai Tiong Chow, 42, kira-kira 40 buah rumah didakwa mengalami keretakan 10 hingga 20 kaki di bahagian dinding belakang kediaman mereka.

“Di rumah saya sendiri keretakan berlaku daripada atas ke bawah dan sekeliling rumah termasuk di dapur, ruang tamu hingga garaj kereta,” katanya.

Tan Lee Lee, 54

Juga mengalami nasib sama adalah Tan Lee Lee, 54.

“Saya sudah menghuni 19 tahun di sini dan tidak pernah ada isu retak, namun selepas perumahan berhampiran dibina, rumah saya sudah senget sehinggakan pagar automatik saya tidak boleh digunakan lagi,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George yang ditemui ketika turun padang, menggesa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mempercepat proses menaik taraf longkang di sekitar kediaman terbabit.

Katanya, Bandar Sentosa yang merangkumi 25 taman adalah kawasan berisiko banjir disebabkan pembangunan secara ‘pocket development’ berlaku di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan sistem perparitan atau jajaran parit tidak bersambungan secara konsisten.

Tambahnya, tindakan segelintir penduduk yang membuat pengubahsuaian sehingga menutup laluan longkang, juga menyumbang kepada isu banjir.

“Saya juga minta majlis memperkuatkuasakan terutamanya Jabatan Pembangunan untuk turun, tengok sendiri kalau mereka perlu pecahkan untuk buat ‘manhole’ di setiap rumah, mereka patut keluarkan notis untuk mereka baru kita boleh selesaikan masalah banjir di sini,” katanya.

Bagi masalah struktur kediaman retak, beliau meminta penduduk melaporkan terus kepada jabatan pembangunan agar ia dapat diteliti pihak berkaitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini