Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Aduan Rakyat

ADUAN RAKYAT: Kematian babi hutan di Ukay Heights akibat Demam babi Afrika

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SHAH ALAM: Kematian babi hutan di kawasan Ukay Heights sejak sebulan lalu disahkan berpunca daripada wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh, pihaknya telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan wabak itu tidak tersebar ke kawasan lain.

Katanya, tindakan segera diambil dengan membersihkan kawasan penemuan bangkai, selain menghantar sampel bangkai bagi mengenal pasti punca kematian.

Namun katanya, penduduk tidak perlu bimbang kerana virus ASF tidak menjangkiti manusia dan hanya boleh berjangkit sesama spesis babi.

“ASF ini hanya berjangkit di antara spesis babi sahaja. Seperti yang kita tahu, di Malaysia hanya ada dua jenis babi, babi domestik dan babi hutan.

“Jadi ia hanya boleh berjangkit sesama mereka, tidak boleh berjangkit dengan haiwan lain termasuk manusia,” katanya.

Minggu lalu, Aduan Rakyat melaporkan kegusaran penduduk Ukay Heights mengenai bau busuk dan penemuan bangkai babi hutan di sekitar kawasan perumahan mereka.

Beliau mengesahkan mengesahkan menerima enam aduan berhubung isu itu.

Katanya, selepas menerima arahan Jabatan Veterinar Selangor, pihaknya telah menutup kawasan penemuan bangkai dengan mengklasifikasikan ia sebagai zon jangkitan.

Selain itu, aktiviti memburu babi hutan dalam radius 10 kilometer (km) kawasan terbabit dibekukan selama 40 hari bermula 29 Mei lalu.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh

“Babi hutan ini spesis konflik hidupan liar, jadi ada aktiviti pemburuan juga berkaitan mereka. Jadi arahannya kita bekukan sementara memburu babi hutan dalam radius 10km kawasan yang terjangkit ini.

“Dan kalau ikutkan, bangkai-bangkai yang kita temui dalam hutan pun kalau ikutkan arahannya kita tak boleh bawa alihkan dalam tempoh itu.

“Ini kerana, pengalihan atau orang yang masuk, walaupun ia tidak boleh berjangkit kepada manusia, tapi jika kita terpijak atau dicemari virus itu, kita boleh menjadi pembawa dan virus itu makin tersebar. Sebab itu kita tutup kawasan itu, supaya tiada aktiviti manusia di kawasan itu,” ujarnya.

Tambahnya, jika masih terdapat bau busuk dan penemuan bangkai, beliau meminta penduduk segera membuat laporan.

“Kita akan ambil tindakan pembersihan kawasan tersebut dan terutamanya jika mungkin ada sebelum ini kes-kes bangkai di belakang atau di dalam kawasan rumah, jadi kita kena bersihkan kawasan itu,” katanya.

Menjawab isu bangkai monyet pula, katanya pihaknya menjumpai satu bangkai lotong di kawasan berkenaan, namun ia merupakan kes berasingan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini