Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Aduan Rakyat

[VIDEO] Aduan Rakyat: MBDK laksana projek tebatan banjir di Bandar Sentosa


Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KLANG: Majlis Bandaraya Diraja Klang, (MBDK) akan melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan Bandar Sentosa dengan nilai keseluruhan berjumlah RM69 juta bermula pertengahan tahun ini.

Ia susulan laporan Aduan rakyat mengenai isu banjir dan kediaman retak di Jalan Hulubalang Taman Millenium Sentosa, di sini.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain memaklumkan, ketika ini reka bentuk tebatan banjir di sekitar kawasan Bandar Sentosa telah disediakan.

“Ia akan dilaksanakan secara berperingkat termasuk di kawasan banjir Jalan Hulubalang.

“Fasa pertama dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini dengan kos sebanyak RM10 juta melibatkan kerja-kerja membina kawasan tadahan air di Jalan Dato Yusuf Shahbudin 2 yang juga akan menampung sebahagian air dari kawasan itu,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain ketika ditemui di pejabatnya.

Menurutnya, punca banjir disebabkan kawasan sedia ada adalah rata dan rendah selain sistem saliran yang lemah di kawasan perumahan lama dan kapasiti longkang dan struktur yang tidak mencukupi.

Katanya, banjir juga disebabkan kekurangan sistem untuk tadahan air pembangunan pesat di kawasan persekitaran serta peningkatan kepada air larian permukaan.

“Kita akan berusaha untuk membina kolam-kolam takungan sebagai penyelesaian kepada masalah ini. Kolam-kolam takungan ini akan dibangunkan khususnya untuk projek-projek pembangunan besar dan kita juga merujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan kolam takungan yang lebih besar dibina supaya air hujan yang lebat dapat ditakung terlebih dahulu sebelum disalurkan ke perparitan, sungai atau laut,” katanya.

Pihaknya juga akan memberi notis kepada pemilik kediaman yang membuat pengubahsuaian sehingga menghalang aliran air keluar.

Mengulas isu keretakan, ujarnya MBDK sedang mendapatkan pihak pemaju dan konsultan untuk menilai semula projek pembinaan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Tambahnya, penelitian pihaknya mendapati struktur bangunan masih kukuh namun, proses mendapan tanah berlaku di kawasan tertentu menyebabkan perbezaan ketinggian antara kawasan yang tidak terlibat dengan pembangunan dan kawasan yang telah dibangunkan.

“Proses ini akan dilaksanakan secepat mungkin. Namun, berdasarkan pemerhatian semasa, struktur asas bangunan masih kukuh, kecuali bangunan tambahan yang dibina mengalami beberapa keretakan. Pun begitu, bangunan asas itu masih dalam keadaan kukuh,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini