
SERI KEMBANGAN: Seramai 145 ahli misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition–Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG) dari 25 negara ditahan tentera Israel setakat ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar.
Beliau berkata, MyCARE turut menjangkakan gangguan komunikasi dengan semua aktivis Malaysia dalam misi itu akan berlanjutan lebih lama.
“Kami jangkakan ‘communication blackout’ akan berterusan dan kelajuan kapal turut diperlahankan kerana rejim Israel mahu memastikan delegasi tiba pada waktu malam.
“Peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) sudah memaklumkan bahawa mereka akan mengendalikan semua 145 aktivis yang ditahan, dan proses rundingan dijangka bermula esok,” katanya dalam sidang media khas, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Wisma Putra memaklumkan kepada pihaknya bahawa Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan akan membawa pulang sembilan delegasi Malaysia bersama 21 delegasi Turkiye ke Istanbul.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya berusaha mengelakkan sembilan aktivis Malaysia daripada dibawa ke Ashdod pada hujung minggu memandangkan peguam tidak akan mempunyai akses ketika itu, yang boleh menyebabkan mereka ditempatkan dalam lokap buat sementara waktu.
“Sekarang ini corak pintasan berubah. Dulu pintasan berlaku sekitar 100 batu nautika — Madleens pernah pada 109 batu nautika, manakala Global Sumud Flotilla (GSF) juga sekitar 100 batu nautika. Cuma kali ini (FFC-TMTG) dipintas pada jarak 120 batu nautika, lebih jauh,” katanya.



