
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan hasrat kerajaan dalam Belanjawan 2026 mencapai sasarannya serta mampu mengukuhkan keselamatan persempadanan negara, meningkatkan hubungan pertahanan antarabangsa dan memastikan kedaulatan negara terpelihara.
ATM dalam kenyataan memaklumkan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan seluruh warga ATM menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman Belanjawan 2026 dan menyambut baik Belanjawan MADANI berkenaan.
“ATM akan mengamalkan pelaksanaan perbelanjaan secara berhemah dalam menumpukan kepada ‘jointness’ bertepatan dengan usaha untuk mendukung Angkatan Masa Hadapan, selain dari terus memperkukuhkan keupayaan setiap cabang Perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Selain itu, aspek kebajikan anggota juga akan diberi keutamaan bagi mengekalkan moral dan kelestarian warga ATM untuk menyuntik iltizam serta semangat dalam mempertingkat kesiapsiagaan demi kedaulatan Malaysia,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Kementerian Pertahanan dan ATM menerima peruntukan RM21.74 bilion bagi tahun 2026 yang mana peruntukan berkenaan meningkat kira-kira 2.92 peratus berbanding peruntukan tahun ini iaitu sebanyak RM 21.13 bilion.
“Daripada jumlah berkenaan, RM 14.11 bilion adalah untuk Peruntukan Mengurus (OE), manakala RM 7.63 bilion adalah bagi Peruntukan Pembangunan (DE),” katanya.



