Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Nasional

Belanjawan 2026: KPT terus pacu kecemerlangan pendidikan tinggi

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memacu kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara melalui inisiatif Belanjawan 2026, dengan tumpuan ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkasa bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pada masa sama, usaha akan terus dilakukan untuk memperkukuh penyelidikan, pembangunan dan inovasi, memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti serta kebajikan pelajar.

KPT dalam kenyataan, berkata peruntukan RM18.6 bilion di bawah Belanjawan 2026, iaitu peningkatan 2.76 peratus, berbanding sebelum ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam sektor pendidikan tinggi, membabitkan RM14.68 bilion untuk belanja mengurus, manakala RM3.91 bilion bagi belanja pembangunan.

“KPT yakin keseluruhan peruntukan yang diumumkan akan membantu memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara supaya lebih berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan masa depan.

“Kementerian akan terus bekerjasama erat dengan semua Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan institusi swasta untuk memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara berhemah dan memberi impak langsung kepada pembangunan modal insan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, KPT memaklumkan, antara fokus yang digariskan di bawah Belanjawan 2026 adalah memperkukuh kebajikan mahasiswa melalui pelaksanaan Ikhtiar Dapur MADANI, MySiswa Job On Campus dan penyelenggaraan prasarana institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan peruntukan keseluruhan melebihi RM446 juta.

Selain itu, peruntukan TVET dinaikkan kepada RM7.9 bilion, yang turut akan memanfaatkan institusi TVET di bawah KPT dan daripada jumlah ini, Majlis TVET Negara menerima RM45 juta bagi menerapkan ilmu teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok melalui Program IPT@Komuniti.

“Kemudahan institusi TVET turut dinaik taraf, iaitu membina Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk bidang maritim dalam menyokong pembangunan ekonomi biru.

“Bagi menangani krisis penginapan di universiti, kerjasama antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Universiti Malaya (UM) akan dirintis untuk membina 1,000 unit residensi di UM,” katanya.

Bagi memberi ruang lebih ramai anak muda cemerlang, termasuk lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian di lima universiti penyelidikan, kerajaan bersetuju menambah 1,500 lagi unjuran tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian, antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, AI dan bahasa.

Bagi memperkasa bidang perubatan, kerajaan turut bersetuju melaksanakan dua projek kerjasama awam-swasta, iaitu Pembangunan Teknopolis Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya Health Metropolis.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM12 juta kepada Hospital Pengajar Universiti terpilih untuk mengaplikasikan hasil ciptaan dalam urusan pemulihan pesakit secara bersasar dan RM16 juta bagi memperkasa bidang aeronautik, termasuk pembangunan Air Space Sandbox pertama negara oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pembinaan lapangan terbang latihan penerbangan maritim oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi melahirkan juruterbang amfibia tempatan.

“Kerajaan turut memperkenalkan insentif pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin dengan peruntukan RM120 juta setahun dan pengecualian bayaran balik kepada 6,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga B40 serta M40, manakala peminjam berkemampuan yang culas membayar balik pinjaman akan disekat perjalanan ke luar negara.

“Selain itu, peluang pendidikan Bumiputera juga diberi keutamaan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6 bilion kepada MARA, Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya.

KPT berkata, bagi menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), kerajaan memperkenalkan langkah membenarkan pensyarah UA mengambil cuti sabatikal setahun dan menyalurkan RM10 juta melalui penubuhan Dana Nasional Syarikat Terbitan.

Selain itu, kerjasama bagi menyumber luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta akan dipertingkat, dengan peruntukan sebanyak RM140 juta bagi menangani isu kesesakan di hospital awam.

“Bagi tujuan ini, kerajaan akan membina hospital, klinik dan blok tambahan baharu meliputi Pembangunan Advanced Surgical Block di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian, Kelantan,” katanya.

Loading...
Terkini