Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Nasional

Kajian UIA belum diterima, belum ada keperluan bahas pilihan raya Datuk Bandar – Fahmi

Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI, hari ini. Foto NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Tiada keperluan membahaskan syor pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelantikan Datuk Bandar di Parlimen ketika ini kerana kerajaan masih belum menerima hasil kajian yang sedang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu masih bersifat pramatang dan belum pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana apa yang Yang Berhormat Hannah Yoeh sebut adalah satu kajian yang disediakan oleh pihak UIAM dan kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet.

“Kabinet (pun) belum membincangkan, jadi belum ada apa-apa, ia pramatang,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan supaya membentangkan dan membahaskan syor pilihan raya terbabit di Parlimen.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan terbuka menerima sebarang cadangan dan tidak menghalang pembangkang daripada membangkitkan perkara itu melalui saluran rasmi Parlimen.

“Tapi kita terima baik apa-apa cadangan sekiranya beliau berhasrat untuk bangkitkan, saya percaya boleh bangkitkan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) minggu depan.

“Cuma waktu ini Kabinet tidak ada sebarang perbincangan mengenai cadangan terbabit, belum dibentangkan hasil kajian UIA, jadi tidak ada apa-apa untuk kita bentangkan pada waktu ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Takiyuddin mempersoalkan keperluan menukar sistem pelantikan Datuk Bandar sedia ada yang menurutnya telah berjalan lancar di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 lebih 60 tahun.

Wakil rakyat PAS itu turut memberi amaran bahawa pilihan raya tempatan pernah mencetuskan polarisasi kaum pada masa lalu terutama yang melibatkan ibu negara.

Loading...
Terkini