Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Infografik

Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15


Oleh: Nurul Amalina Zainudin & Ing Boon Seng

KUALA LUMPUR: Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail kini menerajui barisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Ketua Polis Negara ke-15, bermula hari ini.

Pelantikan Mohd. Khalid secara kontrak adalah bagi tempoh dua tahun mulai 23 Jun ini hingga 22 Jun 2027.

Beliau menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bakal menamatkan kontraknya, Ahad ini.

Pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Majis Serah Terima Tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu dalam PDRM itu disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman.

Majis Serah Terima Tugas dimulakan dengan upacara penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara kepada Mohd. Khalil yang disempurnakan Saifuddin Nasution.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Razarudin dan Mohd. Khalid serta penyerahan tongkat kuasa disaksikan Saifuddin Nasution.

Turut diadakan, upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) antara Puan Sri Zainah Othman dengan Datin Seri Munirah Che Rose, disaksikan isteri Saifuddin Nasution, Datin Seri Norhayati Musa.

Dalam pada itu, Saifuddin dalam kenyataan medianya memaklumkan, pelantikan Mohd Khalid itu berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang kepolisan, mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan PDRM.

“Beliau merupakan pegawai yang sangat berpengalaman dalam bidang risikan dan keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan PDRM pada 5 April 1987 apabila ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun yang sama.

“Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara.

“Beliau juga pernah menjawat jawatan key-post sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Razarudin atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini