Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Politik

‘Belajar daripada kekalahan sebagai persediaan PRU-16’ – Johari Ghani

Datuk Seri Johari Abdul Ghani beramah mesra dengan pelajar yang menerima sumbangan ketika Program Sumbangan IPTA 2025 Parlimen Titiwangsa di Dewan Yayasan Bena Nusa, Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: NSTP

Oleh: Farah Marshita Abdul Patah

KUALA LUMPUR: Kekalahan Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi tradisi yang sekian lama dikuasainya perlu dijadikan pengajaran untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), dua tahun lagi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata semua parti perlu mengambil iktibar daripada kekalahan itu.

Katanya, beliau sendiri pernah kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun membuat kemunculan semula.

“Kita kena raikan kemenangan ini, mana-mana parti pun kita kena raikan. Pada masa sama, mana-mana kekalahan parti, kita kena mengambil iktibar.

“Saya pun pernah kalah juga. Saya menang, kalah, menang balik. Tapi selagi ada tenaga untuk buat kerja, kita buat kerja,” katanya ketika ditemui media selepas Program Sumbangan IPTA 2025 Parlimen Titiwangsa Siri Ke-3/25 di sini, hari ini.

Semalam, hanya seorang pemimpin kanan UMNO Sabah berjaya mempertahankan kerusi iaitu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak juga tewas di DUN Usukan, manakala pemimpin lain seperti Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Pengarah Pilihan Raya, Jeffrey Nor Mohamed tumbang di DUN Sungai Sibuga dan Tanjung Keramat.

Johari berkata, kekalahan BN di Sabah membawa isyarat bahawa parti itu perlu bekerja lebih keras.

Ini kerana, katanya, setiap negeri mempunyai keunikan masing-masing.

“Di Sabah lain. Di Sarawak lain. Di Johor lain. Di Kelantan lain. Jadi kita tak boleh pukul rata semua.

“Kalau kita (parti) besar, tidak bermaksud kita besar selalu. Kalau kita kecil tak bermaksud kecil selalu. GRS pun pertama kali bertanding, dulu bertanding dengan kita semua. Tapi apa kita perlu buat adalah belajar,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, pemimpin parti terutama BN perlu memberi perhatian lebih kepada pengundi muda.

Katanya, pengundi muda mempunyai pemikiran berbeza dan mahukan wakil rakyat yang boleh menzahirkan kemahuan mereka (pengundi).

“Anak-anak muda kurang kesetiaan kepada parti. Mereka nak tengok pemimpin yang boleh menzahirkan (deliver). Kalau tak boleh ‘deliver’ apa yang mereka mahukan, mereka akan cari orang yang ada harapan nak deliver.

“Kalau pengundi terdahulu, kesetiaan mereka tinggi. Tapi negara sekarang sudah maju dan anak-anak muda kita yang menjadi pengundi, mereka mempunyai pemikiran yang berbeza,” katanya.

Katanya, beliau sebagai wakil rakyat sentiasa menekankan hal pendidikan kepada pengundi muda di kawasan itu.

“Pendidikan akan membolehkan pengundi mempunyai daya pemikiran yang terbuka untuk melihat dan menilai.

“Tak semestinya apabila saya membuat perkara ini (tekankan pendidikan), kita akan dapat sokongan.

“Tidak, tetapi kita memberi mereka kapasiti untuk menilai dan memikir bagaimana untuk mencari pemimpin dengan tidak menggunakan emosi, tidak menggunakan sentimen. Dia boleh pilih sendiri,” katanya.

Loading...
Terkini