
Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Satu majlis angkat sumpah bagi barisan kabinet kerajaan negeri Sabah yang baharu dijangka diadakan 2.00 petang ini menurut sumber, selepas Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri awal pagi semalam.
Walaubagaimanapun, hanya media rasmi dibenarkan membuat liputan dan senarai penuh barisan anggota kabinet rasmi hanya akan diketahui selepas majlis angkat sumpah itu dan satu sidang media mengenainya dijangka dibuat oleh Hajiji juga selepas majlis berkenaan.
Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah awal pagi semalam buat penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman pada istiadat di Istana Seri Kinabalu.
Setakat ini parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Bebas telah menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk menerajui pembentukan kerajaan negeri.
Daripada sokongan itu Hajiji akan mempunyai 46 kerusi di DUN, hanya tiga lagi untuk mencapai majoriti dua pertiga.
Pembentukan kabinet baharu selepas Pilihanraya Negeri Sabah (PRN) Sabah ke-17 dijangka merangkumi semua parti yang menyokong kerajaan termasuk ADUN bebas bagi memastikan pentadbiran negeri lebih stabil dan inklusif.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr. Arvin Tajari berkata, dengan keputusan pilihan raya yang tidak memberikan mana-mana parti majoriti selesa secara tunggal, penyertaan luas dalam kabinet dianggap langkah penting agar setiap blok politik yang menyumbang kepada pembentukan kerajaan diberi ruang sewajarnya dalam struktur pemerintahan.
“Pendekatan ini juga dilihat dapat mengelakkan risiko ketidaktentuan politik, sekali gus mengukuhkan kedudukan kerajaan sepanjang lima tahun mandat.
“Penglibatan ADUN bebas dan parti-parti sekutu dalam kabinet bukan sahaja mengurangkan potensi perebutan pengaruh, malah menghantar isyarat bahawa kerajaan baharu bersedia bekerja dalam kerangka kerjasama yang lebih menyeluruh demi kestabilan dan kesinambungan dasar pembangunan negeri,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.
PRN Sabah ke-17 menyaksikan GRS muncul sebagai parti yang memperoleh kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak iaitu 29 kerusi daripada jumlah 73 kerusi yang dipertandingkan.
Parti Warisan memenangi 25 kerusi DUN, diikuti BN enam kerusi DUN, manakala calon Bebas lima kerusi DUN.
UPKO menang tiga kerusi DUN manakala STAR dua kerusi DUN.
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Perikatan Nasional (PN) dan PH masing-masing sekadar memenangi satu kerusi DUN Sabah.



