Tumpuan :
PEMBERITAHUAN:MYTV akan menjalankan penyelenggaraan dari 5 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026, jam 01:00 pagi hingga 5:00 pagi.
Politik

PRN Sabah: Sentimen lokaliti faktor utama parti tempatan jadi pilihan – Penganalisis

Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi & Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 semalam menyaksikan isu tempatan menjadi faktor utama pengundi memilih parti berteraskan lokaliti khususnya membabitkan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan royalti petroleum 40 peratus.

Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berkata, dua parti tempatan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan meraih jumlah kerusi tertinggi kerana fokus mereka terhadap isu yang dekat dengan aspirasi rakyat.

“Pengundi Sabah melihat mereka memerlukan parti yang rapat dengan rakyat serta boleh dipercayai untuk memperjuangkan hak mereka. Sebab itu kedua-dua konsortium ini diberi kepercayaan. Kita juga tahu GRS mendapat kerusi paling banyak dan diberikan mandat untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya kepada Buletin TV3.

KEMAMPUAN PENTADBIRAN GRS

Mengulas kemenangan GRS, Azmi yang juga penganalisis politik berkata, kedudukan GRS sebagai mantan kerajaan negeri memudahkan rakyat menilai kemampuan serta batas pentadbiran gabungan itu.

“Sepanjang kempen, GRS menekankan hubungan mesra dengan Kerajaan Persekutuan. Jika kita mahu berbincang isu MA63 atau royalti 40 peratus itu dengan segera, maka strateginya adalah kita berbincang secara baik.

“Strategi ini membuatkan pengundi lebih percaya kepada GRS, berbanding Warisan kerana dalam kempen mereka adalah untuk menongkak arus, kalau mereka dapat menubuhkan kerajaan negeri,” jelasnya.

Mengenai kemenangan lima calon bebas dalam PRN kali ini pula, ia memperlihatkan bagaimana sentimen yang dibawa sesetengah calon itu mampu meraih sokongan majoriti sehingga menewaskan seteru politik yang lebih dominan.

“Calon-calon dikenali di kawasan mereka dan bekas YB dikawasan berikut tetapi tidak dicalonkan oleh parti yang mereka ikuti.

“Tetapi (ini) hakikatnya adalah calon bebas 74 semuanya. Tetapi kebanyakan mereka masuk gelanggang untuk menang dan bukan untuk pecah undi. Jadi ini dikatakan sebagai unik di Sabah kerana aura calon itu memainkan peranan agak penting,” ujarnya lagi.

HUBUNGAN SABAH-PUTRAJAYA

Sementara itu, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik turut berpendapat, aspirasi lokaliti serta hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga menjadi faktor penting dalam keputusan PRN Sabah kali ini.

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik

“Hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya pengiktirafan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan kepimpinan pusat kepada GRS, memperlihatkan bahawa elemen politikal federalisme masih penting dalam membawa pembaharuan.

“Ini mengukuhkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan lokal yang bersedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan,” ujarnya.

Beliau turut mengulas perubahan pola sokongan pengundi bandar, termasuk dalam kalangan pengundi Cina yang dilihat semakin kritikal terhadap parti-parti bandar.

“Pengundi bandar mahukan pembaharuan khusus dalam aspek tertentu, dan ini perlu dikaji parti yang bertanding untuk memahami kehendak sebenar rakyat, denyut nadi masyarakat.

“Pendekatan mikro dan inovatif diperlukan agar mereka merasakan manfaat jelas daripada wakil rakyat yang dipilih,” ujarnya lagi.

SENTIMEN SABAH UNTUK SABAH

Dalam pada itu, Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, perubahan sokongan pengundi Cina terhadap DAP pada PRN kali ini adalah sebahagian daripada gelombang sentimen lokal yang semakin kuat.

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran.

“DAP dilihat sebagai parti yang bergerak ke hadapan membawa isu-isu rakyat. Tetapi saya melihat bahawa wujud satu perasaan yang luar biasa di kalangan pengundi Cina yang kita pernah saksikan di Peringkat Pusat.

“Walaupun DAP telah bertapak di Sabah lebih lima dekad dan aktif membawa isu masyarakat. Gelombang ‘Sabah untuk Sabah’ menjadi faktor dominan,” katanya.

Menurutnya lagi, faktor ekonomi turut menyumbang kepada perubahan sokongan itu.

“Selain itu, sebahagian pengundi Cina yang selama ini menyokong DAP merasakan perjuangan asal parti itu semakin berubah. Apabila dibandingkan dengan kekuatan sentimen lokal, parti tempatan dilihat lebih meyakinkan. Ini menyebabkan DAP berdepan kemerosotan serius kali ini,” jelasnya.

Loading...
Terkini